Apakah Makna Penarikan Balik Produk Pengguna – KEPADA ANDA?

Apa itu Penarikan Balik Produk Pengguna?

Penarikan Balik Produk dari pasaran atau Product Recall adalah tindakan (action) yang diambil untuk keluarkan (remove) produk – produk dengan risiko keselamatan dari pasaran. Arahan product recall sepatutnya dikeluarkan oleh agensi –agensi kerajaan berkaitan kategori produk tersebut. 

Contohnya untuk arahan product recall untuk produk makanan yang tidak selamat akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di Malaysia – kepada pengeluar, pengimport, pengedar, penjual dan pengguna makanan tersebut. 

Arahan product recall untuk ubat-ubatan dan peranti perubatan seperti jarum suntikan dan perkakas perubatan yang tidak selamat di pasaran atau yang digunakan oleh kemudahan perubatan juga dikeluarkan oleh Kementerial Kesihatan.

Masalahnya sekarang bukan dengan penarikan balik produk tidak selamat di bawah Kementerial Kesihatan. Masalah sekarang adalah produk-produk yang bukan di bawah kawal selia Kementerian Kesihatan – beratur ribu kategori produk!

Contohnya: perabot rumah (katil, kerusi kanak-kanak, meja kaca dan lain-lain), perkakas bukan elektrik rumah (tangga, troli, hos dan lain-lain), kenderaan persendirian (kereta, alat ganti kereta dan aksesori) dan peralatan bayi (kerusi kereta, stroller, katil bayi, baju bayi, napkin dan lain-lain).

Perabot Rumah – kes permukaan yang dibuat daripada kaca selamat (safety glass) yang meletup secara tiba-tiba!

Insiden – insiden keselamatan tersebut dilaporkan hampir setiap tahun sejak Pusat Khidmat Aduan Pengguna Kebangsaan atau National Consumers Complaints Centre (NCCC) menerbitkan laporan aduan pengguna di Malaysia (sejak tahun 2006). Walaupun satu kertas kajian dan pendirian disediakan oleh Standards Users untuk perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada tahun 2013, tiada tindakan yang ketara diambil. 

Mungkinkah peruntukan di bawah undang – undang yang berkatian seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 tidak mencukupi atau lemah? Menagapakah tindakan penarikan balik produk – produk dari pasaran sebut tidak diambil?

 Produk kanak-kanak

Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan banyak lagi negara maju telah menubuhkan pengkalan data yang kerap dikemaskinikan mengenai produk-produk tidak selamat yang ditarik balik dari pasaran mereka. Dalam senarai produk-produk tersebut seringkali melibatkan produk kanak-kanak seperti ‘stroller’ , baju tidur, alat permainan, katil kanak-kanak dan bayi dan lain-lain. 
  • Mengapa di Malaysia perkara sedemikian tidak dilaporkan?
  • Adakah semua produk tersebut selamat di Malaysia walaupun jenama dan model di pasaran tempatan mungkin berlainan – dari segi pengeluar dan reka-bentuk?
  • Agensi mana yang bertanggungjawab memberikan maklumat yang betul dan tidak berat sebelah?
  • Agensi mana yang akan memastikan semua produk yang terlibat ditarik balik dari pasaran?
  • Agensi mana yang memastikan penarikan balik produk dari pasaran efektif atau tidak?

Laporkan Insiden Keselamatan

Di negara-negara tersebut di atas, sebarang insiden keselamatan produk yang dilaporkan oleh pengguna kepada sesebuah syarikat harus dilaporkan oleh syarikat tersebut kepada agensi kawal selia keselamatan produk berkenaan. Jika tidak tindakan undang-undang akan diambil. Bagi memudahkan syarikat melaporkan insiden tersebut, portal insiden keselamatan telah dibangunkan dan syarikat / industri dan pengguna (orang awam) boleh melaporkan insiden keselamatan produk di negara mereka. 

Di Malaysia portal sedemikian tidak diwujudkan (sehingga kini) oleh mana-mana agensi keselamatan produk (melainkan (mungkin) produk bawah kawal-seliaan KKM). 

Apa yang ada adalah APEC PSIISS. Ia dibangunkan oleh Standards Users dengan sokongan Jabatan Standards Malaysia dan APEC (sebuah agensi ekonomi rantau Asia dan Pasifik). www.psiiss.net. Sejak ia ditubuhkan hampir seratus insiden dilaporkan dan antaranya adalah letupan ‘safety glass’. Kebanyakan insiden lain adalah berkaitan dengan keselamatan makanan.

Kenderaan Persendirian


Antara tahun 2009 dan 2011, berjuta-juta kereta jenama Toyota ditarik balik dari pasaran untuk mengganti lapik lantai kereta tersebut (floor mat). Ini adalah kerana rekabentuk lapik tersebut menyebabkan ‘accelelator paddle’ kereta tersangkut pada lapik tersebut. Ini menyebabkan kereta tersebut meningkat kelajuan dengan tiba-tiba luar kawalan pemandu. Insiden ini dipanggil ‘unintended acceleration’. Tahun lalu (2014) berita di Amerika Syarikat melaporkan bahawa Toyota diarah membayar denda hamper USD 1.2 billion kerana cuba ‘menyorok’ insiden tersebut daripada pihak berkuasa dan agensi kerajaan.


Pada Oktober 2014, Standards Users yang selalu memantau penarikan balik produk pengguna oleh agensi kerajaan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mendapat maklumat bahawa National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) telah mengarahkan penarikan balik kereta jenama Toyota dan Honda akibat ‘airbag’ yang tidak selamat. Sehingga hari ini (Julai, 2015) lebih kurang 30 juta kereta telah terlibat dalam penarikan balik ini. 

Pada 10hb Julai 2015, Honda memberikan notis di laman web syarikat tersebut di Malaysia bahawa beberapa model Honda perlu ditarik balik dari pasaran supaya ‘airbag’ baru boleh dipasang. – hampir 10 bulan selepas Standards Users mendapat berita tersebut. Namun pemilik kereta Honda perlu menunggu bekalan 'airbag' daripada Takata - tarikh tidak diberi!

Lapan kematian telah dilaporkan di seluruh dunia termasuk satu kes di Sarawak di mana seorang ibu mengandung meninggal dunia akibat terkena serpihan logam daripada ‘airbag’ yang meletup dalam kereta Honda yang dipandu beliau.
Surat kepada agensi-agensi berkaitan kenderaan persendirian tidak mendapat jawapan yang diperlukan tentang apakah status penarikan balik tersebut di Malaysia. Apakah langkah-langkan yang perlu diambil oleh pengguna model kereta yang terlibat untuk memastikan kereta mereka selamat dan lain-lain.
 

Sistem Penarikan Balik Produk (selain daripada produk yang dikawal oleh KKM)

Tindakan penarikan balik produk dengan risiko keselamatan kepada pengguna tidak bermakna produk tersebut perlu dilupuskan!!!

Tindakan tersebut merangkumi antara lain penarikan balik produk dari pasaran antaranya untuk:
  1. Diperbaiki dan dikembalikan kepada pengguna – dengan percuma
  2. Diganti dengan bahagian dan aksesori baru dan dikembalikan kepada pengguna – dengan percuma dan
  3. Dihantar alat ganti baru dan diminta alat ganti lama dipulangkan untuk pelupusan – juga secara percuma
Jikalau produk tersebut mengandungi bahan kimia merbahaya maka pelupusan produk tersebut harus diselia oleh agensi kerajaan demi keselamatan komuniti dan alam sekitar.

Situasi di Malaysia

Malaysia tidak mempunyai pihak berkuasa kompeten tentang keselamatan produk am (general consumer products) – iaitu produk-produk yang bukan di bawah kawal seliaan KKM. Maka setiap kali sesuatu produk pengguna ditarik balik dari pasaran negara lain, hampir tiada siasatan dijalankan atau nasihat dikeluarkan oleh mana-mana agensi, kepada indsutri di Malaysia samada risiko yang sama wujud di Malaysia atau tidak. 

Seringkali berita risiko produk tersebut disebarkan dalam media sosial dan pelbagai rekaan dan pendapat menyusul berita tersebut. Kadang – kadang berita yang disebar dalam media sosial tidak berasas dan tidak betul. Orang awam terbawa-bawa dengan berita tersebut kerana tiada kenyataan yang betul dikeluarkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan. Atau orang awam mungkin mendapati bahawa sukar untuk menghubungi pihak yang berkaitan.

Amalan baik dan panduan penarikan balik produk wujud atau tidak?

Memang wujud! Dua standard antarabangsa ISO 10393 (panduan penarikan balik produk) dan 10377 (panduan keselamatan produk) telah dibangunkan untuk dijadikan panduan oleh industri dan agensi kerajaan untuk memastikan keselamatan produk pengguna dan melaksanakan proses penarikan balik produk yang efektif. Tetapi pemathuan terhadap kedua-dua standard tersebut adalah sukrela – jika suka maka rela!

Agensi –agensi kerajaan terutamanya KPDNKK harus menggunapakai kedua-dua dokumen ini untuk membina kapasiti industri di Malaysia supaya produk yang selamat dipasarkan kepada pengguna. Jika berlaku keadaan di mana risiko keselamatan wujud maka standard tersebut boleh digunapakai untuk melaksanakan penarikan balik dan tindak pembetulan yang efektif .

Sila layari laman web www.standardsusers.org/standardsusers untuk maklumat lanjut tentang kedua-dua standard tersebut.


Comments

Popular posts from this blog

Penandaan Tarikh (TARIKH LUPUT) dan Apakah Maknanya Kepada ANDA?

Keselamatan Bahan Kimia di Rumah Anda!