Bedak Talkum dan Barah Ovari

Maklumat Tentang Talkum, Bedak Talkum dan Barah

Pada 24 Februari 2016, juri di Missouri, Amerika Syarikat meminta Johnson and Johnson (J&J) membayar pampasan USD 72 juta kepada keluarga seorang wanita yang telah meninggal dunia. Keluarga tersebut mendakwa penggunaan talkum jenama J&J dan lain –lain produk yang mengandungi talkum telah menyebabkan barah ovari dan kematian wanita tersebut.

Apa itu talkum?


‘Talc’ adalah nama umum sebatian magnesium silikat terhidrat. Talc digunakan dalam makanan, dadah, kosmetik dan aplikasi industri. Artikel ini memfokus kepada talc yang digunakan untuk tujuan kosmetik dan penjagaan diri. Ini adalah kerana penggunaan bedak talc atau talkum dikaitkan dengan barah ovari.


Mengapa talkum digunakan dalam barangan kosmetik dan penjagaan diri?


Talkum mempunyai pelbagai kegunaan dalam kosmetik dan penjagaan diri. Di antara kegunaan talkum adalah sebagai penyerap, agen anti-keras dan untuk memperbaiki sentuhan sesuatu produk. Ia juga digunakan sebagai bahan tambah untuk pewarna dan sebagai bahan lengai.

Badan pentadbiran dadah dan makanan (Food and Drug Adminsitration) atau FDA Amerika Syarikat, telah meluluskan penggunaan talkum dalam produk dadah topikal.


Adakah talkum selamat digunakan dalam produk kosmetik dan penjagaan diri?


FDA telah menentukan talkum  dalam kategori GRAS atau generally recognized as safe atau pada amnya dianggap selamat. Ia juga dibenarkan sebagai agen anti-keras untuk serbuk vanilla.

Adakah talkum mengandungi gentian asbestos?

Gred talkum kosmetik tidak seharusnya mengandungi asbestos. Kehadiran asbestos boleh ditentukan dengan pembelauan sinar-X (X-ray diffraction) dan dengan menggunakan microscope elektron dan optik. Semua jenis asbestos diklasifikasi sebagai karsinogen walaupun kesan mereka berlainan.


Adakah talkum mengganggu sistem respirasi manusia jika dihidu?

Sebagai langkah pencegahan, saiz partikel talkum sepatutnya ditetapkan kepada saiz yang tidak boleh dihidu iaitu lebih daripada 5micrometer.

Kesan terhadap kesihatan akibat penghiduan talkum telah dikaji oleh Program Toksikologi Nasional di Amerika Syarikat atau National Toxicology Programme (NTP).

Ujian ke atas haiwan dengan memberikan dos besar untuk dihidu selama 2 tahun menunjukkan beberapa perkembangan kesan berbahaya kepada kesihatan. Walaubagaimanapun, hasil kajian tersebut di atas dipertikaikan atas dasar dos yang diberikan melebihi dos ketahanan fungsian maksimum atau ‘maximum functionally tolerated dose’. Lebih-lebih lagi kajian tersebut menggunakan dos yang sangat tinggi sehingga paru-paru haiwan tersebut dibebani dengan talkum. Ini menimbulkan persoalan samada ketumbuhan yang diperhatikan dalam sesetengan paru-paru disebabkan oleh bebanan partikel atau secara langsung oleh talkum.

Apakah kemungkinan penggunaan talkum dikaitkan dengan barah ovari?


Hasil beberapa kajian telah menimbulkan kebimbangan bahawa bedak talkum yang disapu pada kawasan genital, tuala wanita, kondom dan sebagainya boleh berhijrah melalui vagina, uterus dan saluran fallopian ke lapisan yang melindungi ovari dalam badan. Partikel talkum dikhuatiri boleh menyebakan barah ovari. Susulan hasil kajian tersebut banyak lagi kajian epidemiologi dijalankan untuk mengesahkan kesan penggunaan talkum dan barah ovari. Hasil kajian-kajian adalah berbeza. Sesetengah kajian menunjukan risiko yang meningkat sedikit manakala yang lain tidak menunjukkan apa-apa kaitan.

Talkum secara semulajadi wujud dengan gentian asbestos. Maka talkum dikaitkan dengan kehadiran asbestos yang merupakan bahan karsinogen (bahan yang boleh menyebabkan barah). Talkum yang mengandungi sisa asbestos mungkin mewujudkan bahaya barah jika digunakan pada manusia ataupun diuji pada haiwan.

 Agensi Penyelidikan Barah Antarabangsa atau IARC (International Agency for Research on Cancer) telah mengkelaskan talkum sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B. Ini bermakna ia mungkin memberikan kesan karsinogen kepada manusia. Sebatian dalam kumpulan 2B bermakna ada bukti yang menunjukkan sebatian tersebut boleh menyebabkan barah pada manusia, tetapi bukti tersebut pada masa sekarang tidak meberikan keyakinan menyeluruh.

Tiada laporan yang menunjukkan peningkatan risiko barah akibat penghiduan bedak talkum kosmetik. Kajian ke atas pelombong talkum menmberikan gambaran terdapat peningkatan dalam risiko barah paru-paru dan lain-lain penyakit paru-paru. Ini mungkin juga disebabkan oleh kandungan bahan galian lain yang termasuk juga sebatian asbestos.

Talkum yang dijual sebagai bedak kosmetik kepada pengguna sepatutnya tulen dan tidak mengandungi sisa asbestos, silika dan lain-lain galian.

Adakah insiden di Amerika Syarikat tersebut di atas akan mengubah pendapat ini dan tahap keyakinanbahawa talkum menyebabkan barah pada manusia?

Nasihat kepada pengguna yang risau tentang talkum dan risiko barah


Kajian ke atas bedak talkum menunjukkan keputusan yang tidak konsisten, walaupun terdapat risiko barah ovari. Sehingga kini tiada barah jenis lain yang dilaporkan berkaitan dengan penggunaan bedak talkum.

Pengguna yang risau tentang risiko barah akibat penggunaan bedak talkum boleh mempertimbangkan alternatif lain seperti serbuk kanji jagung (cornstarch powder) yang tidak mengandungi talkum. Tiada bukti sehingga sekarang yang serbuk kanji jagung boleh menyebabkan sebarang bentuk barah.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertanggungjawab terhadap peraturan kosmetik dan produk penjagaan diri harus mengkaji kadar pendedahan pengguna di Malaysia terhadap talkum dan insiden barah. Disamping itu pihak Kementerian juga harus menguji semua jenis bedak untuk memastikan jika ia dibuat daripada talkum, tiada kehadairan asbestos dalam bedak tersebut.
------------------------------------------------------

Lain - Lain Berita Berkaitan:
  1. Is it safe to use talcum powder? 
  2. Evidence linking talcum powder to ovarian cancer 'inconclusive': HSA
  3. J&J must pay $72m for cancer death linked to talcum powder

Comments

Popular posts from this blog

Penandaan Tarikh (TARIKH LUPUT) dan Apakah Maknanya Kepada ANDA?

Apakah Makna Penarikan Balik Produk Pengguna – KEPADA ANDA?

Keselamatan Bahan Kimia di Rumah Anda!